Pemanah lelaki negara, Khairul Anuar Mohamad berhasil menempatkan diri ke dalam kelompok 16 pemanah terakhir dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Ianya selepas pemanah berusia 29 tahun ini menumpaskan pemanah China, Wang Dapeng menerusi ‘shoot off’ setelah terikat 5-5 dalam perlawanan yang berlangsung pagi tadi di Yumenoshima Park Archery Field.
Keputusan keseluruhan lima set tersebut adalah (28-25), (28-28), (26-27), (26-29) dan (27-26).
Sebelum itu, Khairul Anuar berjaya mara ke kelompok 32 akhir dengan menumpaskan pemanah Finland, Vikstrom Antti juga menerusi ‘shoot off’ selepas terikat 5-5.
Untuk makluman, pencapaian Khairul Anuar mara ke kelompok 16 terakhir ini menyamai pencapaian terbaiknya ketika menyertai Sukan Olimpik London 2012.
Perlawanan seterusnya akan berlangsung pada 31 Julai, jam 8.56 pagi. Bagaimanapun lawan kepada Khairul Anuar belum diketahui secara rasmi.