Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengumumkan menamatkan kontrak ketua jurulatih senior dan bawah 23 tahun (B-23), Akira Nishino, hari ini.
Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh FAT menerusi pelbagai platform laman sosial milik skuad Gajah Perang sebentar tadi.
Penamatan kontrak jurulatih kelahiran Jepun tersebut dilakukan setelah aksi suram skuad kebangsaan Thailand dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.
Mereka menamatkan saingan peringkat Kumpulan G di tangga keempat – di bawah Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia – dengan hanya mengutip 9 mata daripada 8 perlawanan.
Setakat ini, FAT belum mengumumkan siapakah pengganti kepada Akira untuk membimbing skuad kebangsaan dan B-23 Thailand.
Untuk makluman, mereka akan mengharungi saingan Piala AFF, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dan kelayakan Piala Asia B-23 tidak lama lagi.
Featured Image: Thai League Central