Olimpik 2020: Dhabitah Sabri Mara Ke Separuh Akhir Terjun Papan Anjal
July 30, 2021 Hafizuddin Omar

Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir dalam acara terjun 3 meter papan anjal individu dalam temasya Sukan Olimpik 2020.

Dhabitah meloloskan diri selepas beraksi cemerlang dengan mengumpul 291.60 mata daripada 5 terjunan secara keseluruhan pada pusingan kelayakan di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Jumlah kutipan mata tersebut membolehkan Dhabitah meletakkan dirinya di kedudukan ke-10 daripada 27 penerjun.

Untuk pengetahuan semua, hanya 18 penerjun terbaik di peringkat kelayakan ini sahaja akan mara ke saingan separuh akhir.

Wendy Ng Yan Yee

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, 28 tahun, gagal mara ke peringkat seterusnya setelah mengutip 251.95 mata dan menduduki tempat ke-20 daripada 27 penerjun.

Bagaimanapun, penerjun di tempat ke-19 dan ke-20 akan diletakkan dalam senarai ‘reserved spot’ untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

Untuk makluman, aksi separuh akhir acara terjun 3 meter papan anjal akan berlangsung pada 31 Julai (Sabtu) bermula pada jam 2 petang waktu Malaysia.

Komen