Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir acara terjun 3 meter papan anjal individu dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Atlet berusia 22 tahun ini mengesahkan kemaraan ke pentas final selepas menampilkan lima terjunan yang konsisten sekaligus mengumpul 312.60 mata secara keseluruhan pada peringkat separuh akhir.
Jumlah kutipan mata tersebut meletakkan Dhabitah menduduki tangga ke-6 daripada 18 penerjun yang bersaing dalam acara terjun yang bertempat di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.
Untuk makluman semua, hanya 12 penerjun yang merekodkan pungutan mata tertinggi daripada 18 penerjun sahaja yang layak mara pentas final.
Sebagai rekod, pertama kali Dhabitah mara ke pentas final temasya ini pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Bagaimanapun, pada edisi tersebut, Dhabitah beraksi dalam dua acara berlainan iaitu terjun 10 meter platform individu dan 3 meter papan anjal seirama bersama Pandelela Rinong.
Dalam kedua-dua final tersebut, Dhabitah menamatkan saingan masing-masing dengan kedudukan ke-9 dan ke-5.
Bagi yang ingin melihat Dhabitah beraksi di pentas final bagi merebut kilauan pingat buat negara, acara ini akan berlangsung pada hari esok (1 Ogos) bermula pada jam 2 petang waktu Malaysia.