Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan saingan akhir acara terjun 3 meter papan anjal di tempat keempat dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dhabitah, 22 tahun, berjaya menduduki tangga keempat selepas memberikan aksi yang konsisten dalam kelima-lima terjunan sekaligus mengumpul 326.15 mata secara keseluruhan.
Bagaimanapun, kutipan mata tersebut masih tidak melayakkannya untuk mengutip sekurang-kurangnya pingat gangsa pada penampilan keduanya di temasya Olimpik kali ini.
Pemenang pingat emas dan perak bagi acara ini adalah penerjun China iaitu Shi Tingmao dan Wang Han yang masing-masing mengutip 383.50 dan 348.75 mata.
Manakala pemenang pingat gangsa adalah penerjun Amerika Syarikat, Krysta Palmer dengan kutipan mata 343.75 secara keseluruhan.
Untuk makluman semua, ini merupakan pencapaian terbaik buat Dhabitah sejak menyertai Sukan Olimpik Rio 2016.