Artikel

Greysia-Apriyani Cipta Sejarah Menangi Emas Pertama Regu Wanita Buat Indonesia

Pasangan regu badminton wanita Indonesia, Greysia Polii, 33 tahun, dan Apriyani Rahayu, 23 tahun, berjaya membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah menewaskan regu China, Chen Qingchen dan Jia Yifan, hari ini.

Regu No.6 dunia ini cemerlang menumpaskan lawan mereka, regu No.3 dunia dengan dua ‘straight set’ 21-19 dan 21-15 pada perlawanan akhir yang bertempat di Musashino Forest Sport Plaza sekaligus mencipta sejarah sebagai pasangan badminton wanita Indonesia pertama yang memenangi pingat emas di temasya ini.

Untuk pengetahuan semua, sebelum memenangi pingat emas ini, gandingan ini terlebih dahulu mencipta sejarah sebagai pasangan regu wanita pertama Indonesia yang mara ke pentas final dalam acara ini di Sukan Olimpik.

Sebagai makluman tambahan, ini merupakan penyertaan kali keempat buat Greysia di pentas Olimpik. Semasa beraksi di Rio 2016, Greysia bersama gandingannya terdahulu, Nitya Krishinda Maheswari hanya setakat di suku akhir.

Kemenangan regu Indonesia ini juga menyumbangkan emas pertama buat Kontinjen Indonesia di temasya Tokyo 2020. Setakat ini, Indonesia telah memungut satu emas, satu perak dan dua gangsa.

komen