Olimpik 2020: Pandelela Melangkah Ke Final Terjun 10m Platform
August 5, 2021 Hafizuddin Omar

Penerjun negara, Pandelela Rinong berjaya menempah slot ke final acara terjun 10 meter (m) platform Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet yang memenangi pingat gangsa dalam acara yang sama pada edisi Sukan Olimpik London 2012 melangkah ke final dengan kutipan 315.75 mata hasil daripada lima terjunan yang dilakukan hari ini.

Pungutan mata tersebut membolehkan atlet berusia 28 tahun ini menduduki tempat ketujuh – tergolong dalam kalangan 12 penerjun terbaik di peringkat separuh akhir.

Untuk makluman, di peringkat ini, hanya 12 daripada 18 penerjun yang mencatatkan markah tertinggi sahaja layak untuk beraksi di peringkat final.

Sementara itu, mengungguli carta 12 penerjun terbaik di Pusat Akuatik Tokyo pada peringkat separuh akhir adalah dua penerjun remaja dari China.

Quan Hongchan, 14 tahun dan Chen Yuxi, 15 tahun menamatkan aksi separuh akhir di kedudukan pertama dan kedua dengan memungut 415.65 dan 407.75 mata masing-masing. 

Pandelela akan turun beraksi di pusingan akhir bagi merebut kilauan pingat dalam acara terjun 10m platform pada jam 2 petang, hari ini. 

Komen