Penerjun negara, Pandelela Rinong menutup saingan akhir bagi acara terjun 10 meter (m) platform di tangga ke-12 dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kedudukan itu menyebabkan atlet berusia 28 tahun ini bukan sahaja terlepas peluang untuk menyamai sekurang-kuranyanya pencapaian terbaiknya memenangi pingat gangsa di temasya Olimpik 2012.
Malahan, persembahan tersebut meletakkannya di kedudukan yang terakhir pada aksi pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, pada hari ini.
Bercakap mengenai persembahannya sebentar tadi, nasib tidak begitu menyebelahi Pandelela apabila terjunan pertamanya hanya diberikan 18 mata oleh para juri.
Bagaimanapun, Pandelela bangkit dan memperbaiki empat terjunan berikutnya dan memungut 245.85 mata secara keseluruhan.
Namun ianya tidak cukup untuk memberikan saingan bagi merebut kilauan pingat dan hanya meletakannya di kedudukan ke-12 daripada 12 penerjun yang beraksi di pentas akhir.
Sementara itu, pemenang pingat emas dan pingat perak bagi acara ini ialah Quan Hongchan (466.20 mata) dan Chen Yuxi (425.40 mata) dari China.
Manakala di tempat ketiga dan meraih pingat gangsa ialah Melissa Wu (371.40 mata) dari Australia.