Kejayaan pasangan regu lelaki badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 membolehkan mereka memperbaiki kedudukan ranking dunia.
Menerusi kemaskini terbaru oleh laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selasa lalu, regu negara yang menghuni tangga kesembilan naik satu anak tangga dan kini menghuni kedudukan kelapan dunia.
Kecemerlangan mereka menumpaskan dua regu terbaik dunia, Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo (No.1 dunia) dan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (No.2 dunia) serta regu Korea dan Kanada di peringkat kumpulan telah memberikan mereka tambahan 10,100 mata.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang terkandas di peringkat suku akhir kepada juara bertahan, Chen Long meraih 5,200 mata tambahan namun kekal menghuni tangga kelapan dunia.
Menariknya, pemain badminton perseorangan wanita, Soniia Cheah yang sekadar menamatkan saingan temasya Olimpik di peringkat kumpulan turut mencatatkan peningkatan ranking – menduduki No.34 dunia pada masa kini.
Bagi pasangan regu wanita, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean pula kekal berada di tangga ke-11 dunia. Bagaimanapun, pasangan regu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying pula turun satu anak tangga dan kini berada di kedudukan kelapan dunia.
Featured Image: BWF Media