Pemain Tengah, Christian Eriksen Pulang Ke Inter Milan Buat Pertama Kali
August 6, 2021 Hafizuddin Omar

Kejohanan Euro 2020 baru-baru ini menyaksikan satu kejutan apabila pemain tengah Denmark dan Inter Milan, Christian Eriksen jatuh pengsan semasa turun beraksi menentang Finland, pada perlawanan peringkat Kumpulan B.

Difahamkan, pada ketika itu, Eriksen mengalami ‘cardiac arrest’ sekaligus menyebabkan dia tidak menyedarkan diri di tepi padang sebelum dibantu oleh paramedik untuk memberikan bantuan kecemasan.

Selepas daripada kejadian tersebut, pemain berusia 29 tahun ini dimasukkan pendetak jantung dan tidak meneruskan saingan Euro 2020 bersama Denmark.

Beberapa hari lalu, Inter menerusi kenyataan rasminya memaklumkan Eriksen kembali buat pertama kali sejak insiden tersebut ke Pusat Latihan Sunning yang terletak di Appiano Gentile, Itali.

“Pemain Denmark itu telah bertemu dengan Pengarah Kelab, jurulatih, rakan sepasukan dan semua staf yang hadir.

“Eriksen berada dalam keadaan yang sihat serta keadaan fizikal dan mentalnya baik.” tulis kenyataan rasmi kelab yang terkenal dengan julukan The Nerazzurri itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada makluman tambahan kelab, kelibat Eriksen bersama Inter Milan dalam saingan Serie A tidak dapat dilihat dalam masa yang terdekat.

Hal ini kerana Eriksen akan meneruskan program pemulihan yang telah dirancang oleh para doktor Denmark di Copenhagen. Sementara itu, staf perubatan Inter akan diberikan makluman dan perkembangan sepanjang proses tersebut.

Komen