Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-5 yang dilangsungkan pada hari ini menyaksikan salah satu pindaan Perlembagaan Malaysian Football League (MFL) dilakukan.
Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin melibatkan Klausa 16.3 (c) berkaitan penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Hasil daripada pindaan tersebut, mana-mana Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MFL dalam kalangan Wakil Kelab tidak lagi memegang sebarang jawatan di peringkat kelab akan hilang jawatan ALP secara automatik.

“Hari ini MFL bersama Rakan Kongsi Liga telah bersidang secara maya dan telah membincang pelbagai perlembagaan yang dipinda.
“Antara salah satu perlembagaan yang dibentangkan iaitu Klausa 16.3 (c) – Penggal Ahli Lembaga Pengarah di mana sekretariat mencadangkan pindaan kepada klausa penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menjelaskan bahawa sekiranya wakil kelab tidak lagi memegang jawatan Pengerusi atau Presiden, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, atau Pengurus Besar Kelab, mereka akan secara automatik hilang jawatan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Undian untuk jawatan kosong ini akan diadakan pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga yang berikut,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang lain, MFL turut mengumumkan tiga ALP MFL dalam kalangan Wakil Kelab bagi penggal baharu 2021-2025.
Tiga ALP tersebut ialah Mustaza Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri (Pengarah Eksekutif Melaka United) dan Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin (Pengarah Johor Darul Ta’zim).
Featured Image: MFL