Ketua Jurulatih Basikal Trek, John Beasley Sedia Sambung Kontrak Namun Bersyarat
August 13, 2021 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley bersedia untuk melanjutkan kontraknya bersama skuad negara namun ianya perlulah merangkumi beberapa syarat.

Menurut laporan Berita Harian, antara syarat-syarat yang diletakkan adalah  menawarkan tempoh kontrak merangkumi satu kitaran Sukan Olimpik iaitu sehingga tahun 2024 serta mengekalkan staf kejurulatihannya.

Untuk makluman semua, kontrak sedia ada jurulatih kelahiran Australia ini bakal tamat pada penghujung tahun ini.

“Sebenarnya saya tidak bimbang mengenai kontrak kerana ia di luar kawalan saya. 

“Jika Malaysia menawarkan kontrak baharu kepada saya, ia perlulah merangkumi satu kitaran Olimpik dan jika saya perlu berpindah ke Malaysia, sesuatu yang memang saya mahu lakukan, saya fikir perlu beri masa untuk saya menguruskan beberapa perkara seperti menyewakan rumah saya di Australia.

“Saya juga mahukan pasukan saya kekal, jika kami berpisah kami tidak akan mampu untuk mencapai matlamat yang sudah ditetapkan.

“Saya perlukan khidmat Mohd Izham Bin Mohamad bersama saya. Izham adalah pengurus prestasi tinggi yang paling bijak dan sentiasa bekerja keras. Dia adalah watak penting di sebalik kejayaan pasukan saya,” katanya seperti dipetik daripada akhbar tersebut.

Sebagai rekod, Beasley telah berkhidmat bersama skuad basikal negara sejak tahun 2006.

Menerusi sentuhan magisnya, dia telah berjaya membentuk Dato’ Azizulhasni Awang menjadi antara pelumba terbaik dunia dan menjadi pelumba basikal trek pertama negara yang memenangi pingat di Sukan Olimpik serta muncul juara dunia pada tahun 2017.

Bukan itu sahaja, hasil sentuhan Beasley turut melahirkan beberapa pelumba muda yang berpontensi untuk menggegarkan pentas antarabangsa di masa hadapan seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Selain itu, Beasley juga dilaporkan menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan yang lebih besar bersama skuad basikal trek negara.

“Apa peranan yang akan diberikan kepada saya, ia bukanlah keputusan saya. Namun, saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Prestasi Tinggi sekiranya jawatan itu diwujudkan,” tambahnya lagi.

Featured Image: Azizulhasni Awang Twitter

Komen