Khabib Sertai Kelab Divisyen 3 Rusia, FK Legion Dynamo Makhachkala
August 14, 2021 Hafizuddin Omar

Legenda UFC, Khabib Nurmagomedov dilaporkan menyertai sebuah kelab bola sepak berpangkalan di tempat kelahirannya, Dagestan iaitu FK Legion Dynamo Makhachkala.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh laman sosial kelab yang beraksi dalam saingan Liga Bola Sepak Profesional Rusia (divisyen 3), semalam. Ianya turut dilaporkan oleh saluran berita Russia Today.

Menerusi muat naik tersebut, Khabib, 32 tahun, yang terkenal dengan julukan The Eagle dilihat berjabat tangan bersama presiden kelab, Shamil Lakhiyalov berserta beberapa helaian kertas di atas meja yang dipercayai merupakan dokumen berupa kontrak untuk kedua-dua pihak.

Muat naik tersebut turut disertakan dengan kapsyen, “Pertarungan hebat menanti Legion kami, di mana kami memerlukan pahlawan yang hebat. Kami sedia untuk mengucapkan selamat datang kepada semua pasukan Liga Perdana Rusia bersama Khabib Nurmagomedov.”

Bagaimanapun, sehingga saat ini tiada sebarang butiran jelas mengenai kemasukan Khabib samada selaku pemain atau mengisi mana-mana jawatan di dalam kelab tersebut.

Khabib bersama-sama legenda AC Milan, Clarence Seedorf

Untuk makluman semua, selain daripada terlibat dalam seni bela diri campuran (MMA) sejak sekian lama, Khabib turut mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak.

Beliau pernah mengakui meminati pasukan Real Madrid dan mempunyai hubungan yang baik bersama bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Januari lalu, beliau turut terlibat dalam satu perlawanan bola sepak bertemu pasukan yang turut dibarisi oleh legenda AC Milan, Clarence Seedorf di Dubai.

Komen