Atlet angkat berat wanita negara, Nur Atikah Mahamad Sobri dilaporkan sudah memulakan latihan dalam usahanya untuk beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Bagi melayakkan diri ke temasya sukan berkenaan, Atikah perlu terlebih dahulu muncul juara pada aksi kelayakan yang berlangsung di Singapura pada 24 Oktober hadapan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, atlet berasal dari wilayah persekutuan ini turut mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Filipina, Hidilyn Diaz.
Atlet Filipina ini menjadi bualan hangat rakyat Malaysia selepas kisahnya yang terperangkap dek sekatan pergerakan memaksanya untuk berlatih dalam keadaan serba kekurangan di garaj kereta perumahan yang terletak di Melaka.
“Dalam dua temasya SUKMA di Sarawak dan Perak saya bertanding bagi kategori 64kg tetapi atas nasihat jurulatih, Ahmad Janius Abdullah dan pemenang emas Olimpik dari Filipina, Hidilyn Diaz, mereka mahu saya beralih ke kategori 59kg.
“Kini saya giat menjalani latihan dengan tumpuan kepada 59kg bagi pusingan kelayakan Sukan Komanwel di Singapura, Oktober ini,” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar tersebut.
Difahamkan Atikah turut menjalani latihan di lokasi yang sama Diaz berlatih sebelum ini iaitu perumahan yang terletak di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka.
Atikah yang memenangi dua pingat emas dalam temasya SUKMA 2018 menjadikan Diaz sebagai idolanya dan memasang impian untuk memenangi pingat emas di Sukan Komanwel kelak.
Featured Image: Jabatan Penerangan Malaysia