Undian Piala Thomas & Uber 2020: Kedua-Dua Pasukan Malaysia Dalam Kumpulan D
August 18, 2021 Hafizuddin Omar

Konfederasi Badminton Dunia (BWF) baru sahaja selesai mengadakan undian peringkat kumpulan bagi dua kejohanan utamanya iaitu Piala Thomas dan Piala Uber 2020.

Majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat BWF, Kuala Lumpur itu turut disiarkan secara langsung di saluran rasmi Youtube badan terbabit, hari ini.

Bagi kejohanan Piala Thomas (lelaki), pasukan Malaysia yang akan diwakili oleh 3 pemain perseorangan dan 2 pasangan beregu telah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama naib juara edisi lalu, Jepun serta Kanada dan England.

Sementara itu, untuk kejohanan Piala Uber (wanita), pasukan Malaysia berdepan cabaran besar apabila diundi dalam Kumpulan D yang disertai oleh semi finalis edisi lalu, China serta Denmark dan Kanada.

Untuk makluman semua, hanya juara dan naib juara setiap kumpulan sahaja yang layak ke peringkat suku akhir. 

Sebagai tambahan, kedua-dua kejohanan dwitahunan ini akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 9 hingga 17 Oktober nanti.

Untuk rekod, edisi Piala Thomas lalu menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat suku setelah tumpas kepada pasukan jiran tetangga, Indonesia.

Manakala, bagi kejohanan Piala Uber yang lalu, Malaysia gagal layak ke saingan kalah mati apabila tamat di kedudukan ketiga pada saingan peringkat kumpulan.

Komen