“Susah Nak Menang Piala Thomas Kerana Kita Tiada Pasukan Seimbang”
August 19, 2021 Hafizuddin Omar

Kejuaraan Piala Thomas 2020 sukar untuk dimenangi oleh skuad negara kerana Malaysia tidak mempunyai sebuah pasukan yang seimbang.

Perkara itu diungkapkan oleh bekas anggota skuad Malaysia yang memenangi kejuaraan tersebut pada edisi 1992 yang diadakan di Kuala Lumpur, Datuk Rashid Sidek.

Daripada skuad yang terdiri daripada 3 pemain perseorangan dan 2 pasangan beregu, Malaysia hanya bergantung kepada Lee Zii Jia dan regu Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengharungi kejohanan yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober kelak.

Bagaimanapun, disebalik ketidakseimbangan barisan pada kali ini, Rashid berkeyakinan Malaysia mampu menamatkan saingan di peringkat kumpulan selaku dua pasukan teratas sekaligus layak ke aksi suku akhir.

Datuk Rashid Sidek ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Atlanta 1996

“Pada pandangan saya, mereka tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir tetapi untuk menang memang susah kerana kita tiada pasukan yang seimbang.

“Ada dua pemain sahaja yang boleh dijadikan sandaran, kalau kalah satu kita habis. Selebih­nya agak susah, lawan 60 kita 40.

“Selain pemain sedia ada, saya rasa ini masa sesuai untuk beri peluang kepada Nur Izzuddin (Rumsani) dan Goh Sze Fei sebagai beregu kedua.” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Untuk makluman semua, hasil undian yang dijalankan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Malaysia telah diundi bersama-sama Jepun, Kanada dan England dalam Kumpulan D.

Sebagai rekod, kejuaraan Piala Thomas 1992 merupakan yang terakhir dimenangi oleh skuad Malaysia.

Komen