Belum membuat sebarang penampilan bersama kelab baharu, Lionel Messi dikatakan telah mengadakan perbincangan bersama David Beckham untuk menamatkan karier bola sepaknya bersama pasukan Major League Soccer (MLS), Inter Miami.
Beckham yang merupakan salah seorang pemilik kelab telah berjanji untuk mendatangkan pemain superstar ke kelab tersebut dan turut membayangkan untuk menggandingkan penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo bersama Messi.
Portal berita berpangkalan di British, Mirror Sport turut mendedahkan beberapa minggu lalu pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali ini dilihat berada di Miami membeli enam pangsapuri mewah di bandar tersebut.
Menerusi tawaran yang dikemukakan oleh Beckham, ia menunjukkan pemain tersebut sudah mula membuat perancangan seterusnya selepas tamat khidmatnya di Perancis bersama Paris Saint-Germain (PSG).
Sebagai tambahan, idea untuk membawa Messi ke Amerika Syarikat bukan sahaja berada dalam pemikiran Beckham. Ia turut diperkatakan oleh pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas.
Untuk makluman semua, Messi ditandatangani oleh PSG secara percuma dan diperkenalkan secara rasmi pada 11 Ogos yang lalu. Penyerang berusia 34 tahun ini turut diberikan jersi bernombor 30.
Difahamkan, kelab berpangkalan di Kota Paris itu mengikat Messi dengan kontrak selama dua tahun berserta pilihan lanjutan selama setahun.