Harrif Sedia Kembali ke Velodrom Untuk Beraksi di Paris 2024
August 23, 2021 Hafizuddin Omar

Pelumba basikal lebuh raya, Harrif Saleh menyatakan kesediaannya untuk kembali beraksi dalam acara basikal trek bagi mengintai peluang menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Untuk pengetahuan semua, sebelum beralih ke acara lebuh raya pada tahun 2010, pelumba kelahiran Terengganu ini merupakan atlet basikal trek dan pernah berlatih bersama jaguh negara, Dato’ Azizulhasni Awang di bawah bimbingan John Beasley di Australia.

Bagaimanapun, menurut laporan Berita Harian, kembalinya beliau untuk beraksi dalam acara basikal trek bergantung kepada ‘kelulusan’ daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Antara foto yang dikongsikan oleh Harrif ketika beraksi dalam acara keirin. Foto: Instagram Harrif Saleh

“Saya rindu untuk berkayuh dalam velodrom selepas kali terakhir bersama Datuk Azizulhasni pada 2010, saya sedia berlatih, lagipun dengan usia 33 tahun sama usia dengan Jijoe, pengalaman saya mampu untuk menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat negara jika diberi peluang beraksi di pentas Olimpik 2024.

“Jika diberi pilihan saya mahu beraksi dalam acara omnium, jika diberi tugas itu saya sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk beraksi pada Sukan Olimpik itu, mungkin sebelum saya gantung basikal, itu peluang terbaik buat saya beraksi di pentas itu,” kata pelumba yang akan menjengah usia 33 tahun pada pertengahan bulan hadapan.

Pada masa yang sama, Harrif yang kini beraksi bersama pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) sedia mengerah kudrat dalam acara lebuh raya untuk beraksi di temasya yang sama.

Satu perkara sempat dikongsikan oleh Harrif, pada tahun 2012 yang lalu, beliau telah pun layak untuk menyertai temasya Sukan Olimpik London 2012 bagaimanapun terpaksa redha apabila tidak terpilih untuk mewakili negara dalam acara lebuh raya pada saat itu.

Featured Image: Terengganu Cycling Team

Komen