SMGB Group sah menyertai keluarga Kelab Futsal Pahang Rangers (PRFC) setelah menandatangani perjanjian sebagai penaja utama pasukan bermula musim 2021.
Kerjasama PRFC bersama syarikat berasaskan penerokaan dan perlombongan mineral itu dimeterai dalam satu majlis ringkas pada minggu lalu.
Pada majlis tersebut, PRFC telah diwakili oleh Presiden, Yang Amat Mulia Tengku Fahd Mua’adzam Shah manakala SMGB Group pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Lee Chung Han.
Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut adalah YM Tunku Mohamed Alauddin Naquiyuddin (Pengerusi SMGB); YHM Tengku Dato’ Aidy Ahmad Shah (Naib Presiden PRFC); serta barisan ahli lembaga pengarah kedua-dua pihak.
Menerusi kerjasama ini, SMGB Group bukan sahaja menghulurkan tajaan berbentuk wang tunai untuk memperkasa PRFC yang akan beraksi dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL), tetapi kedua-dua pihak akan turut terlibat di dalam menganjurkan klinik, akademi mahupun program-program khusus untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru futsal terutama dari kalangan masyarakat orang asli di Lanchang.
Malah kedua-dua pihak juga akan terlibat di dalam menyokong konservasi gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat.
Baca: Pahang Rangers Lancar Jersi Home & Away Baharu Keluaran Kelme
Mengulas mengenai kerjasama yang terjalin, Tengku Fahd berterima kasih di atas sokongan ditunjukkan oleh SMGB Group dan berharap ia menjadi suntikan untuk PRFC terus mengorak langkah besar dalam arena futsal tanah air.
“Ini adalah satu lagi peristiwa penting buat PRFC selepas terdahulu memeterai kerjasama bersama UD Levante (Sepanyol) dan Chonburi Bluewave (Thailand) pada 2020.
“Kehadiran SMGB ke dalam keluarga PRFC amat kita alu-alukan, semoga kerjasama ini memberi satu tonik dan suntikan kepada pasukan, seterusnya memacu kita terus bergerak ke depan dan bergandingan mencipta pelbagai sejarah baru dalam arena futsal,” ujar YAM Tengku Fahd.
Selain penerokaan dan perlombongan mineral, SMGB Group juga terlibat dalam pertanian secara bio dinamik dan organik, pemuliharaan hutan serta pemeliharaan hidupan liar, pembangunan dan bidang kesihatan.
Mereka juga terlibat sebagai penaja Liga Indera, platform untuk mencungkil bakat-bakat cilik bolasepak di Kuantan selain turut menaja pasukan Muaythai Negeri Sembilan dan Kedah.
“Ia satu penghormatan untuk SMGB dapat bekerjasama dengan PRFC dan menyokong visi serta matlamat YAM Tengku Fahd menjadikan kelab ini sebagai kelab juara dan kuasa besar futsal baik di dalam negara mahupun di pentas lebih besar seperti Asia dan dunia.
“Dengan sebuah pasukan yang profesional mereka miliki dari pengurusan, kejurulatihan dan barisan pemain, saya percaya PRFC akan mampu berdiri sebagai sebuah pasukan disegani.
“Semua tahu PRFC sudah sedia berada dalam kelas mereka, tanggungjawab kami adalah membantu menyediakan latihan, membangunkan bakat dan memastikan mereka kekal sebagai sebuah pasukan yang unggul. Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.
“Kita juga mahu membina kesedaran tentang pemeliharaan gajah melalui pasukan futsal, dan akan bekerjasama untuk program konservasi di Kuala Gandah lantas menjayakan CSR syarikat kami,” kata Dato’ Lee Chung Han.
Sebagai rekod, pada 2019, Pahang Rangers yang diperkuatkan himpunan pemain kebangsaan muncul sebagai naib juara edisi sulung MPFL dan mensasarkan untuk bergelar juara pada musim berikutnya.
Namun saingan musim 2020 terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19 manakala bagi musim 2021 saingan dijangka berlangsung sekitar Oktober ataupun November.