Khalid Ali Saran Panggil Safee & Safiq Untuk Wakili Harimau Malaya
August 26, 2021 Hafizuddin Omar

Bekas pemain bola sepak negara, Khalid Ali tidak begitu bersetuju dengan perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu memanggil muka muda dan baharu untuk mewakili skuad kebangsaan.

Sebaliknya, menurut laporan New Straits Times, beliau mencadangkan barisan kejurulatihan FAM untuk memanggil kembali dua pemain senior iaitu Safee Sali, 37 tahun dan Safiq Rahim, 34 tahun untuk mewakili Malaysia bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

Khalid berpandangan kedua-dua penyerang dan perancang tersebut masih berada dalam keadaan cergas dan mampu menambah ‘taring’ skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan yang akan berlangsung pada Februari, tahun hadapan.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali – Foto: FAM

“Mungkin ada beberapa pemain muda yang bagus tetapi kita perlu memahami di peringkat antarabangsa, ianya bukan berkenaan tua atau muda, tetapi sejauh mana mereka mampu melaksanakan tanggungjawab,”

“Ada beberapa pemain muda belum mencapai tahap antarabangsa (dalam permainan mereka). Ada beberapa pemain mungkin lebih berusia, tetapi jika mereka masih boleh bermain di peringkat antarabangsa, mengapa tidak memilih mereka?”

“Kita tidak boleh menjalankan program untuk melatih pemain-pemain muda yang baharu kepada pasukan. Kita perlu memilih pemain yang mampu mewakili Malaysia kerana kita tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih. Latihan sepatutnya dijalankan di peringkat kelab.”

“Safee dan Safiq masih boleh menyumbang (tenaga), jadi mengapa tidak gunakan mereka? Mereka bersedia secara fizikal dan cergas untuk (beraksi) di tahap antarabangsa.” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang akhbar berbahasa inggeris itu.

Terdahulu, selepas gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam satu kenyataan kepada media memaklumkan akan memanggil muka muda dan baharu pada kem latihan pusat akan datang.

Pemain-pemain tersebut akan diuji pada perlawanan persahabatan pada rehat antarabangsa yang berikutnya bagi melihat potensi mereka.

Skuad Harimau Malaya juga akan beraksi dalam kejohanan Piala AFF 2020 yang dijadualkan pada 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 sebelum mengharungi saingan kelayakan Piala Asia tersebut.

Komen