Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) secara rasminya mengumumkan akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP setelah tamatnya saingan musim 2021, hujung tahun ini.
Keputusan itu dimaklumkan oleh pasukan tersebut menerusi satu hebahan media yang dikeluarkan oleh pasukan, tengah malam tadi.
Ia susulan penaja utamanya (title sponsor), Petronas dan pemilik pasukan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan ‘perceraian’ terhadap pasukan yang dikendalikan oleh Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali dan Pengarah Pasukan, Johan Stigefelt, baru-baru ini.

Sementara itu, pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Dunia bagi kelas Moto2 dan Moto3 iaitu Petronas Sprinta Racing turut sama tidak akan meneruskan saingan pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, hebahan media yang sama menyatakan Razlan dan Johan akan terus terlibat dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2022 bersama entiti baharu.
Entiti baharu bersama-sama penaja utama (title partner) akan diumumkan pada perlumbaan GP Octo di Litar San Marino pada 19 September hadapan.
Portal motorsports.com mendedahkan entiti baharu tersebut berkemungkinan akan disokong oleh syarikat berpangkalan dari Itali, WithU yang akan hadir selaku penaja utama (title sponsor).