Artikel

Rasmi: FAM Lantik Bekas Perunding Teknikal Oman FA, Saifuddin Abu Bakar Sebagai Setiausaha Agung Baharu

Teka-teki mengenai siapakah yang akan dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu menggantikan Stuart Ramalingam terjawab pada hari ini.

Untuk makluman semua, Stuart yang berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM bermula tahun 2018 akan meninggalkan kerusinya setelah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) bermula 1 September 2021.

Menerusi satu kenyataan media, badan induk bola sepak negara tersebut secara rasminya mengumumkan melantik bekas perunding teknikal Persatuan Bola Sepak Oman (Oman FA), Mohd Saifuddin Abu Bakar selaku Setiausaha Agungnya yang baharu.

“Mohd Saifuddin, 60, mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991, sebelum menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003 termasuk sebagai Ketua Jabatan Pertandingan dan kemudian menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007. 

“Beliau yang berasal dari Melaka kemudian kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009 sebelum berhijrah ke Timur Tengah untuk menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League dan kemudiannya berkhidmat pula sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.” tulis FAM dalam kenyataannya.

Saifuddin akan memulakan tugasnya secara rasmi pada hari Rabu ini, 1 September 2021. 

Featured Image: Oman FA

komen