Pengumuman kepulangan kembali legenda Manchester United (Man Utd), Cristiano Ronaldo ke skuad Red Devil beberapa hari lalu sangat dialu-alukan oleh para penyokong tegarnya seluruh dunia.
Manakan tidaknya, selama Cristiano beraksi bersama Man Utd selama enam musim bermula tahun 2003 hingga 2009, beliau telah memberikan pelbagai kejuaraan seperti Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA serta Piala Dunia Kelab FIFA.
Bagaimanapun, kepulangan kali menimbulkan sedikit pertanyaan, apakah nombor jersi yang akan digunakan oleh penyerang kelahiran Madeira, Portugal ini.
Sudah tentu semua peminat mahu pemain berusia 36 tahun ini menyarung kembali nombor ikonik, Nombor 7 seperti mana beliau gunakan suatu masa dahulu namun pada ketika ini, nombor tersebut telah dimiliki oleh Edinson Cavani.
Sementara itu, peraturan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak membenarkan mana-mana pemain untuk bertukar (swap) nombor jersi setelah didaftarkan sebelum permulaan setiap musim baharu.
Bagaimanapun, menerusi kemaskini di laman sesawang rasmi EPL memaparkan, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu didaftarkan dengan Nombor 7.
Namun, sedikit kekeliruan timbul apabila laman EPL masih mengekalkan pemegang Nombor 7 asal, Cavani di situ.
Tambahan pula, ketika beraksi sebagai pemain gantian menentang Wolves semalam, Cavani masih lagi dilihat menyarung jersi dengan nombor tersebut.
Untuk melihat skuad penuh Man Utd bagi saingan musim ini, KLIK SINI.