Artikel

Sean Gembira Dengan Keputusan Sertai UiTM Secara Pinjaman

Pemain tengah kacukan Itali-Malaysia, Sean Gan Gianelli meluahkan rasanya gembira dengan keputusan menyertai UiTM FC yang dilakukannya pada pertengahan musim lalu.

Menyertai UiTM bukan sahaja dapat memberikannya minit permainan bahkan Sean berhasil menonjolkan kemampuan dan keupayaan yang dimilikinya di atas padang. Pemain berusia 25 tahun ini turut meledak tiga gol sejak dipinjamkan oleh Kuala Lumpur City FC (KL City).

Walaupun saingan liga sudah menghampiri penghujung musim, bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini tidak merasakan sudah terlambat untuknya terus mempersembahkan aksi cemerlang di samping mengharapkan kariernya pada musim depan juga akan lebih baik.

“Apabila saya buat keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke UiTM memang ada juga rasa tekanan untuk berikan yang terbaik sebab biasalah apabila kita bertukar kelab, kalau boleh nak tunjuk yang kita mampu bermain dengan baik.

“Jadi, saya tidak nafikan ada sedikit tekanan tetapi barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sangat membantu untuk saya menyesuaikan diri dengan pasukan ini.

“Memanglah kalau boleh nak bermain lebih banyak lagi sebab ada tiga perlawanan sahaja lagi selepas ini, cuma saya gembira dengan keputusan untuk dipinjamkan ke sini dan sekurang-kurangnya saya dapat buktikan apa yang saya ada pada musim ini, dan bukannya sekadar menunggu untuk musim depan”, jelasnya.

Sepanjang beraksi bersama KL City pada awal musim ini, Sean hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja.

Berbaki tiga lagi perlawanan sebelum berakhir saingan Liga Super 2021, dia berharap mampu untuk menambah jaringan peribadi selain ingin memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran.

Pada saat ini, UiTM berada di tangga tercorot Liga Super dengan 9 mata dan peluang mereka untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran masih ada walaupun tipis dengan mengharapkan pasukan seperti Perak dan Sri Pahang tercicir mata dalam aksi seterusnya.

Featured Image: UiTM FC

komen