Artikel

Adakah ‘SRT Baharu’ Masih Lagi Pasukan Malaysia? Razlan Serah Kepada Peminat Untuk Tentukan

Prinsipal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menyerahkan kepada peminat sukan permotoran untuk menentukan samada pasukan ‘SRT Baharu’ pada musim hadapan merupakan pasukan Malaysia atau tidak.

Bulan Ogos lalu, menerusi satu hebahan media, Petronas Yamaha SRT mengumumkan tidak akan bersaing lagi dalam Kejuaraan MotoGP setelah tamatnya musim ini.

Ia berikutan Petronas selaku penaja utama (title sponsor) dan Sepang International Circuit sebagai pemilik (owner) telah menarik diri daripada pasukan ini.

Baca: SRT Tinggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP, Razlan Bakal Umum Entiti Baharu Bulan Hadapan

Bagaimanapun, Razlan serta Pengarah Pasukan, Johan Stigefelt akan mengambil alih pasukan ini dan meneruskan cabaran dalam kelas MotoGP namun dengan pasukan yang berwajah baharu.

Dimaklumkan, identiti baharu pasukan tersebut serta penaja utama akan diumumkan secara rasmi pada perlumbaan GP Octo yang akan berlangsung di Litar San Marino pada 19 September kelak.

Ada ‘cakap-cakap’ yang mengatakan sebuah syarikat berpangkalan di Itali akan diperkenalkan sebagai penaja utama sekaligus membentuk kerjasama bersama pasukan ‘SRT Baharu’ itu pada Kejuaraan MotoGP 2022.

Franco Morbidelli

“Saya akan serahkan kepada para peminat. Perkara ini sentiasa diperdebatkan sejak SRT menyertai MotoGP.

“Peminat merasakan jika anda merupakan sebuah pasukan Malaysia, anda perlu mempunyai pelumba Malaysia. 

“Berapa banyak pasukan bola sepak (luar negara) yang dimiliki oleh orang Malaysia mempunyai pemain-pemain Malaysia?

“Akhirnya, MotoGP, sepertimana bola sepak, ia juga merupakan sukan. Sebelum adanya (pasukan) SRT, peminat Malaysia telah menyokong Valentino Rossi dan Ducati.

Valentino Rossi

“Sekurang-kurangnya untuk tahun hadapan, masih ada pasukan milik orang Malaysia dalam MotoGP. 

“Jika orang Malaysia tidak berbangga dengan perkara tersebut, terpulang kepada mereka.

“Saya bangga menjadi satu-satunya orang Malaysia menjadi prinsipal pasukan dalam sejarah MotoGP. Saya masih bertahan walaupun mengharungi pelbagai cabaran.

“Ramai orang jangkakan pasukan akan terkubur selepas daripada keputusan Petronas untuk menarik diri sebagai penaja. Saya akan pastikan pasukan akan terus bersaing kerana ia adalah sesuatu yang saya sayang.” katanya seperti dipetik daripada New Straits Times.

Untuk makluman semua, kewujudan Petronas Yamaha SRT sebagai pasukan Malaysia terutamanya apabila mula bersaing dalam kelas MotoGP paada tahun 2019 sentiasa menjadi pertikaian peminat apabila tidak pernah membariskan pelumba Malaysia bersama pasukan tersebut.

Featured Image: Petronas SRT

komen