Paralimpik 2020: Panahan Eric Bennet Menggunakan Mulut Hampir Raih ‘Perfect 10’
September 3, 2021 Hafizuddin Omar

Atlet para memanah Amerika Syarikat, Eric Bennet hampir merekodkan markah ‘perfect 10’ ketika beraksi dalam acara recurve indvidu lelaki di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Eric turun ke Yumenoshima Archery Park bagi menentang wakil Australia, Taymon Kenton-Smith pada peringkat penyingkiran 1/16.

Baca: Panahan ‘Perfect 10’ Korea Singkirkan Khairul Anuar

Walaupun menggunakan mulut sahaja, pada pusingan kelima Eric berjaya memanah tepat ke sasaran sebanyak dua kali untuk meraih 20 mata.

Bagaimanapun, atlet berusia 47 tahun ini terlepas peluang untuk meraih 30 mata apabila panahan ketiganya hanya mengenai di lingkaran yang memberikannya 8 mata.

Eric Bennet – Foto: World Archery

Akan tetapi, ianya sudah memadai buat Eric untuk memenangi peringkat penyingkiran 1/16 tersebut sekaligus menumpaskan lawannya dengan keputusan 6-4.

Pada peringkat penyingkiran 1/8 yang akan berlangsung pada petang nanti, Eric akan bertemu wakil China, Lixue Zhao.

Sebagai rekod, Eric pernah bergelar juara dunia dalam acara yang sama pada tahun 2015.

Untuk makluman semua, Eric kehilangan tangan kanannya ketika usia 15 tahun pada tahun 1989 apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Anda boleh menyaksikan panahan Eric pada pautan video di bawah:

Featured Image: Astro Arena

Komen