Rombakan Besar-Besaran Pengurusan Perak FC Sebelum Memikirkan Untuk Kembali Ke Liga Super
September 10, 2021 Hafizuddin Omar

Satu rombakan besar-besaran akan dibuat terhadap pengurusan pasukan yang berpangkalan di utara tanah air, Perak FC oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dalam masa yang terdekat.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad menerusi satu laporan oleh Sinar Harian, hari ini.

Ianya menjadi keutamaan PAFA selepas Perak FC mengharungi saingan Liga Super musim ini dalam keadaan serba-serbi tidak menjadi sehingga disahkan ‘terhumban’ ke saingan Liga Premier 2022.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan adakan perbincangan untuk untuk menguruskan Perak FC dan saya percaya rombakan besar-besaran akan berlaku.

“Kami mahu pastikan segala urusan mengenai Perak FC dapat diselesaikan dahulu, barulah kami akan mengadakan sidang kongres dan pada masa itu akan ada pemilihan.

“Kami harus melantik pemegang saham baharu dan buat masa ini sudah ada pihak yang menyatakan minat dengan Perak FC. 

“Tetapi mereka mahu meneliti dahulu beberapa perkara,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsikan bahawa PAFA sedang merangka pelan jangka masa panjang buat Perak FC dalam usahanya untuk kembali ke kancah bola sepak utama negara.

Pelan tersebut turut merangkumi perancangan untuk melahirkan bakat baharu terutamanya dalam kalangan pemain-pemain muda.

Featured Image: Perak FC

Komen