Penyokong dan peminat tempatan usah terkejut sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan hampir kesemua pemain muda pada dua kejohanan utama iaitu Piala Sudirman dan Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung kelak.
Menurut laporan Berita Harian, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann memaklumkan senarai pemain yang akan dipilih untuk di bawa menyertai dua kejohanan utama tersebut akan diumumkan pada Sabtu ini.
“Kita sedang dalam penilaian akhir (untuk memilih pemain) yang mana salah satu daripada penilaian itu adalah berdasarkan keputusan daripada kejohanan ranking dalaman yang akan berakhir esok (hari ini).
“Dengan barisan pemain yang ada, saya akui kita agak ketinggalan berbanding pasukan seperti Jepun dan Indonesia, namun saya percaya pemain muda kita juga mempunyai elemen kejutan.
“Diharapkan mereka boleh buktikan yang kita mempunyai barisan pemain masa depan yang bagus,” katanya.
Difahamkan, keputusan BAM untuk menyenaraikan pemain-pemain muda di dua kejohanan ini adalah sebagai pendedahan awal serta persiapan untuk mereka beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
Untuk pengetahuan semua, skuad negara akan menghadapi kejohanan Piala Sudirman bermula 26 September hingga 3 Oktober di Vantaa, Finland.
Baca: Undian Piala Thomas & Uber 2020 – Kedua-Dua Pasukan Malaysia Dalam Kumpulan D
Berselang seminggu kemudian, skuad negara akan terbang ke Aarhus, Denmark untuk menyertai saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 yang dijadualkan bermula 9 hingga 17 Oktober.
Featured Image: Majlis Sukan Negara