Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kos naik taraf padang bernilai RM10 juta bukanlah untuk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sahaja.
Jelasnya keseluruhan kos tersebut adalah termasuk baik pulih dan penambahbaikan padang-padang stadium di seluruh negara.
Beliau menjelaskan perkara berkenaan selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mendedahkan dalam rancangan Bola@Mamak bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapat tawaran untuk menaik taraf padang di SNBJ dengan kos yang tidak masuk akal iaitu RM10 juta.
“Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor termasuk untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara, bukan saja di Bukit Jalil.
“Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.
“Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaik taraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Dalam temu bual itu juga, Tunku Ismail merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut berkongsikan kos membina padang yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia termasuk sistem saliran serta beberapa jenis lapisan tanah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) hanya RM1.4 juta.
Sementara itu, Tunku Ismail turut menambah bahawa kos untuk selenggara padang-padang milik pasukannya yang terkenal dengan julukan Harimau Selatan itu pula hanya berjumlah RM300,000 setahun.
Pada masa yang sama, Tunku Ismail menggesa semua stadium di Malaysia tidak lagi menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ supaya dapat meningkatkan lagi mutu permainan bola sepak para pemain dan pasukan-pasukan yang beraksi dalam negara ini.