Setelah dua tahun tanpa sebarang siri jelajah ekoran penularan pandemik Covid-19, skuad hoki senior lelaki kebangsaan akan terbang ke London bagi mengikuti siri Jelajah United Kingdom 2021.
Skuad yang dibimbing oleh Arulselvaraj ini dijadualkan berlepas ke sana pada 19 September dan akan berada di sana bagi tempoh sekitar sebulan iaitu sehingga 22 Oktober.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Hockey Confederation (MHC), pada hari ini.
“Sebanyak 10 perlawanan telah diatur buat skuad negara sepanjang keberadaan mereka di sana. Ini termasuk empat perlawanan menentang pasukan kelab dan tujuh perlawanan menentang pasukan kebangsaan seperti Ireland, Wales, dan Perancis,” jelasnya.

Menerusi makluman yang sama, seramai 23 orang pemain melibatkan 3 penjaga gol, 7 pertahanan, lapan pemain tengah dan lima penyerang telah disenaraikan untuk menyertai siri jelajah ini.
Difahamkan siri jelajah ini dijadikan sebagai salah satu siri persediaan skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang turut berfungsi sebagai kelayakan Hoki Piala Dunia 2023.
Featured Image: MHC