Saingan Piala Malaysia menjadi fokus buat Sarawak United FC selepas usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Liga Premier terkandas di penghujung saingan.
Menurut pemain sayap Sarawak United, S. Chanthuru dia dan rakan-rakan mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.
Sarawak United bakal berada dalam Kumpulan A bersama Penang, Kuala Lumpur City dan Sri Pahang dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Bandaraya berdepan Penang pada 26 September ini.
“Kami berada terbaik sejak perlawanan pertama liga dan sentiasa meraih kemenangan tetapi pada tiga perlawanan terakhir ini, kami seperti hilang fokus.
“Pemain-pemain telah mencuba sedaya upaya dengan berikan lebih 100 peratus cuma nasib jelas tidak menyebelahi kami namun apa yang penting kami telah berada di Liga Super, musim depan.
“Sarawak akan cuba berikan cabaran di Piala Malaysia dan saya rasa kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan dalam kumpulan kami yang terdiri dari semua pasukan Liga Super.
“Jika dilihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, tahap kami sememangnya sama dengan pasukan Liga Super dan Sarawak akan cuba letakkan sasaran untuk layak sejauh mana yang boleh,” katanya.
Kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir menjadi punca di sebalik kekecewaan Sarawak United yang terpaksa merelakan Negeri Sembilan bergelar juara Liga Premier 2021.
Featured Image: MFL