Malaysia menepati jangkaan ramai dengan meraih kemenangan pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan D dalam saingan Piala Sudirman 2021 yang berlangsung pada hari ini.
Skuad negara berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 setelah menumpaskan perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu campuran England di Gelanggang 2 bertempat di Energiaa Arena, Vantaa, Finland.
Kemenangan pertama Malaysia disumbangkan oleh regu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang menduduki ranking ke-27 dunia.
Regu yang pertama kali beraksi di pentas kejohanan dwitahunan ini berhasil mengejutkan beregu campuran England, Marcus Ellis-Lauren Smith yang berada di ranking ke-7 dunia dan merupakan ‘quarter-finalist’ temasya Olimpik 2020.
Gandingan Pang Ron-Yee See meraih kemenangan dengan bergaya secara ‘straight set’ iaitu 21-19 dan 21-18.
Sementara itu, kapten pasukan, Lee Zii Jia memastikan kemenangan kedua buat Malaysia setelah menumpaskan perseorangan England, Johnie Torjussen yang menghuni tangga ke-202 dunia juga menerusia kemenangan ‘straight set’ iaitu 21-4 dan 21-15
Memasuki perlawanan ketiga melibatkan regu lelaki, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat tentangan yang agak sengit daripada pihak lawan yang merupakan regu No.19 dunia, Ben Lane-Sean Vendy.
Bagaimanapun, disebalik tentangan yang sengit tersebut, Aaron-Wooi Yik tetap berhasil meraih kemenangan secara ‘straight set’ iaitu 22-20 dan 21-18.
Bagaimanapun, rekod tiga kemenangan berturut-turut tidak dapat dilanjutkan sehingga ke perlawanan keempat apabila pemain perseorangan wanita, Kisona Selvaduray yang berada di ranking ke-53 dunia dikejutkan oleh Abigail Holden yang menghuni ranking ke-176 dunia. Kisona tumpas dalam kedua-dua set kepada pemain berusia 22 tahun tersebut dengan keputusan 16-21 dan 20-22.
Menutup perlawanan pada hari adalah gandingan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan menentang Chloe Birch-Lauren Smith yang merupakan regu No.14 dunia dalam aksi beregu wanita. Sepertimana perseorangan wanita, Pearly-Thinaah juga tidak dapat menyumbang mata apabila tumpas kepada regu England dengan keputusan 18-21, 21-17 dan 10-21.
Untuk perlawanan seterusnya dalam Kumpulan D, Malaysia akan berhadapan Mesir pada pukul 9 malam (waktu Malaysia), pada hari esok.
Featured Image: BAM