‘Jangan Pandang Rendah Orang’ – Reaksi Pang Ron Menjelang Pertemuan Menentang Mesir
September 28, 2021 Hafizuddin Omar

Pemain beregu campuran, Hoo Pang Ron menasihatkan diri dan rakan sepasukannya yang lain agar tidak memandang rendah keupayaan pemain-pemain lawan menjelang perlawanan kedua saingan Piala Sudirman 2021.

Ketika diturunkan menentang England semalam, regu Pang Ron-Yee See yang membuat penampilan pertama pada kejohanan Piala Sudirman mencipta kejutan menumpaskan regu campuran yang berada di ranking ketujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith secara dua ‘straight set’.

Kemenangan regu campuran ini memberikan mata yang penting buat skuad negara dalam memastikan kemenangan 3-2 Malaysia ke atas England.

Pada masa yang sama, pemain berusia 23 tahun ini yang membentuk gandingan bersama Cheah Yee See sedia untuk digilirkan pada perlawanan malam ini sekiranya diarahkan oleh jurulatih.

“Kalau kita diturunkan esok (harini), kita akan buat yang terbaik, jangan pandang rendah oranglah, kena beri tentangan,”

“Kalau tidak masuk (diturunkan) pun tak mengapa, kita akan beri sokongan kepada rakan sepasukan dan (pastikan) bagi yang terbaik.” katanya menerusi satu video oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Selepas menundukkan England pada perlawanan pembukaan, Malaysia dijadualkan menentang Mesir pada jam 9 malam (waktu Malaysia) di Gelanggang 2, Energie Areena, Vantaa, Finland, hari ini.

Sementara itu, Mesir pula tumpas 0-5 kepada skuad negara matahari terbit, Jepun ketika perlawanan pembukaan Kumpulan D di tempat yang sama semalam.

Untuk makluman semua, selain daripada regu Pang Ron-Yee See, Malaysia turut membawa sepasang regu campuran lain iaitu Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei yang kini menghuni ranking 49 dunia.

Featured Image: BWF

Komen