Pelari SMK Gunung Rapat, Azeem Fahmi Mahu Terus Berlatih Bersama Coach Amir
September 28, 2021 Hafizuddin Omar

Pelari pecut remaja negara yang juga penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mahu terus mendapat ‘tunjuk ajar’ jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berbanding jurulatih yang lain.

Pelari berusia 17 tahun tersebut menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap perpindahan jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim yang dikaitkan untuk melatihnya. Difahamkan, Coach Poad akan melaporkan diri di SMK Gunung Rapat pada 4 Oktober kelak.

Menurut laporan oleh Astro Awani, pelari yang mencatatkan rekod peribadi terbaiknya 10.57 saat (s) dalam acara 100 meter (m) mahu bersama meneruskan latihan bersama Coach Amir kerana keserasian yang telah terbina lebih dari lima tahun.

Coach Amir (kiri) bersama Azeem Fahmi (kanan).

“Saya masih lagi selesa dengan coach saya sekarang walaupun coach saya dinaikkan pangkat tetapi kami dah bercadang untuk ‘set timing’ yang sebaiknya mengikut saya punya jadual dan dia punya waktu lapang, itu saya rasa tidak menjadi apa-apa halangan,”

“Saya masih juga memilih coach saya sekarang sebab kitorang dah ada program latihan yang telah dibuat hampir setahun lebih, susah nak cari jurulatih macam Coach Amir apabila saya dah berjumpa dengan banyak jurulatih lain, Coach Amir ni merupakan salah satu coach yang sangat berbeza,” katanya.

Selain daripada rekod 100m, Azeem juga mencatatkan larian terbaiknya, 21.04s dalam acara 200m ketika beraksi dalam Kejohanan Perak Alla Comers, Ipoh, pada Februari tahun lalu.

Menurut Azeem, jurulatihnya itu telah memahami pelbagai perkara mengenai dirinya termasuk tingkah laku, gaya hidup, pelajaran, latihan serta cita-citanya dalam karier olahraga. 

Artikel Berkaitan: Coach Poad Kassim Tinggalkan SSTMI Hijrah Ke SMK Gunung Rapat

Minggu lalu, media melaporkan Coach Poad Kassim yang terkenal dengan sentuhan emasnya dalam melahirkan dua juara acara pecut 100m dalam temasya Sukan SEA bakal berhijrah ke SMK Gunung Rapat bagi ‘mencari angin’ baharu.

Kehadiran jurulatih ini turut disertai oleh dua pemenang pingat emas tersebut iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Muhammad Haiqal Hanafi untuk meneruskan latihan mereka di sana. 

Featured Image: Instagram Azeem Fahmi

Komen