Biarpun membariskan barisan pelapis dalam kelima-lima kategori, pasukan Malaysia tetap berhasil menumpaskan Mesir dengan bergaya, 5-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan D saingan Piala Sudirman 2021.
Malam penuh gemilang buat barisan pemain pelapis ini dimulakan dengan kemenangan pertama oleh regu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menumpaskan gandingan Ahmed Salah-Nour Ahmed Youssri secara ‘straight set’ 21-6 dan 21-7.
Tidak cukup dengan persembahan tersebut, giliran pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong pula menghadiahkan kemenangan seterusnya buat Malaysia apabila menumpaskan Mostafa Kamel juga menerusi ‘straight set’ 21-8 dan 21-2.
Perlawanan ketiga pula membabitkan kategori perseorangan wanita.
Walaupun wakil Malaysia, Eoon Qi Xuan turun selaku pemain di ranking 134 dunia, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenam lawannya, Doha Hany yang menghuni ranking 113 dunia, juga secara ‘straight set’ 21-5 dan 21-7.
Pada perlawanan keempat melibatkan beregu lelaki juga tidak menjadi masalah buat Malaysia. Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menang ‘straight set’ 21-7 dan 21-6 ke atas regu Mostafa Kamel-Ahmed Salah.
Regu wanita Teoh Mei Xing-Yap Ling melengkapkan malam gemilang buat Malaysia apabila meraih kemenangan kelima. Regu muda ini berhasil menumpaskan gandingan Nour Ahmed-Doha Hany secara ‘straight set’ 21-4 dan 21-8.
Kemenangan ke atas Mesir pada malam ini juga mengesahkan kemaraan pasukan Malaysia ke saingan kalah mati iaitu peringkat suku akhir sekaligus mencapai sasaran minimum yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D, Malaysia dijadualkan bertemu naib juara edisi 2019, Jepun pada 30 September (Khamis) pada jam 9 malam (waktu Malaysia).
Featured Image: Badminton Association of Malaysia