Marco Tidak Lagi Bimbing Kelantan, Tugas Dipikul Oleh Rezal Zambery
September 29, 2021 Hafizuddin Omar

Kelantan FC akan mengharungi keseluruhan saingan Piala Malaysia tanpa kelibat ketua jurulatih kelahiran San Marino, Marco Ragini dan tugasan tersebut akan dipikul oleh penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya.

Perkembangan ini disahkan sendiri oleh pemilik pasukan yang berpangkalan di pantai timur tersebut, Norizam Tukiman seperti dilaporkan oleh Stadium Astro.

Difahamkan, Marco yang mempunyai kontrak bersama Kelantan sehingga November ini mengalami masalah kesihatan yang memerlukannya melakukan pembedahan. 

Pada masa yang sama, Norizam berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan oleh Rezal termasuk pada perlawanan pembukaan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Isnin lalu.

Rezal Zambery Yahya

“Bagi pasukan Kelantan FC, ketua jurulatih kami, Marco Ragini, sebenarnya tidak berapa sihat dan kami telah menghantarnya pulang ke negara asalnya untuk menjalani pembedahan di sana. 

“Dia sudahpun berada di sana (Itali), jadi tugasnya akan digalas oleh penolong jurulatih, Rezal Zambery. Sudah dua atau tiga perlawanan dia menggantikan Marco dan setakat ini, saya berpuas hati,” katanya seperti dipetik daripada portal terbabit.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menyaksikan Kelantan tumpas kepada juara bertahan 2-0 hasil jaringan Bergson da Silva dan Safawi Rasid.

Sungguhpun tewas kepada skuad bimbingan Benjamin Mora, Kelantan mencuri tumpuan menerusi corak permainan yang menarik dan kesungguhan para pemain.

Untuk makluman semua, Rezal yang berusia 43 tahun dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Kelantan bermula April lalu mempunyai Lesen Kejurulatihan AFC A.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen