Pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggugurkan nama pertahanan negara yang beraksi bersama FC Midtjylland untuk berhadapan Jordan dan Uzbekistan menjadi polemik dalam kalangan peminat.
Ini berikutan pertahanan berdarah campuran Malaysia-Belgium itu dikhabarkan oleh FAM mengalami kecederaan namun Cools dikesan bukan sahaja berada dalam senarai pemain simpanan malahan turut beraksi menentang Aarhus Gymnastikforening (AGK) dalam saingan Liga Denmark, semalam.
Disebabkan perkara terbabit, sebahagian peminat di media sosial dilihat mula mempersoalkan mengenai keputusan yang dilakukan oleh FAM. Bagaimanapun, ketua jurulatih kebangsaan tampil memperjelaskan mengenai isu melibatkan pertahanan berusia 25 tahun itu.
“FAM telah menerima makluman secara rasmi daripada pengarah sukan kelabnya bahawa Dion Cools mengalami kecederaan pada tulang pelvis dan ketua perubatan kelabnya meminta pemain berkenaan dikecualikan daripada panggilan skuad kebangsaan kali ini untuk dia dapat terus bersama dengan kelab bagi melakukan proses pemulihan supaya dapat kembali ke tahap sebelumnya.
“Itu maklum balas yang kita terima. Jadi kita tak boleh nak buat andaian yang bukan-bukan kerana ia adalah maklum balas secara rasmi daripada kelabnya kepada FAM.” jelas jurulatih berusia 53 tahun tersebut seperti dikongsikan oleh pelbagai platform media sosial FAM.
“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa kita tidak membawa Dion Cools ke Amman, Jordan dan sudah tentu dia belum pulih seratus peratus daripada kecederaannya itu. Memang satu kerugian kepada skuad kebangsaan tetapi sudah tentu kita mahukan setiap pemain itu berada pada tahap seratus peratus cergas dan bebas kecederaan.” tambahnya lagi.
Artikel Berkaitan: Cheng Hoe Panggil Bek Tengah Terengganu Ganti Dion Cools Sertai Skuad Kebangsaan
Jurulatih kelahiran Kedah itu meneruskan penjelasannya dengan berkata, “ramai juga yang bertanyakan, kenapa dia boleh diturunkan pada perlawanan malam tadi bersama kelabnya. Kita tahu yang beliau dimasukkan pada 10 minit terakhir permainan itu adalah sebagai sebahagian daripada proses pemulihan untuk dia kembali mendapatkan semula tahap kecergasan terbaiknya.
“Jadi untuk kem latihan pusat kali ini, memang kita tidak akan menggunakan khidmat Dion Cools supaya beliau dapat meneruskan proses pemulihan kecederaan bersama kelabnya dan kita berharap apabila dia sudah pulih sepenuhnya nanti, kita akan dapat kembali menggunakan khidmatnya pada masa akan datang.”
Sementara itu, hanya 22 pemain dibawa oleh Cheng Hoe untuk menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan dan Uzbekistan masing-masing pada 6 dan 9 Oktober masing-masing.
Featured Image: FC Midtjylland