Penerjun ‘Manis Senyuman’ Dhabitah Sabri Bergelar Mahasiswa UKM
October 4, 2021 Hafizuddin Omar

Mempunyai karier yang baik sebagai atlet negara dalam sukan terjun tidak menghalang Nur Dhabitah Sabri untuk melanjutkan pelajarannya pada peringkat tertiari khususnya di universiti.

Menerusi satu makluman oleh akaun media sosial universiti tempatan, penerjun berusia 22 tahun ini dimaklumkan telah memilih untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Difahamkan, menerusi makluman oleh pihak universiti tersebut semalam, penerjun kelahiran Kuala Lumpur yang tidak lekang melontarkan senyuman manis ini memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Kebelakangan ini, melanjutkan pelajaran dalam kalangan atlet-atlet sukan bukanlah sesuatu yang asing. Kebanyakan mereka membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran sebagai persiapan untuk menghadapi kehidupan selepas bersara daripada sukan yang diceburi suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan: Dhabitah Raih Kedudukan Ke-4 Acara Terjun 3m Papan Anjal

Untuk makluman semua, Dhabitah yang mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara terjun 3 meter (m) papan anjal baru-baru ini hampir-hampir sahaja menghadiahkan kutipan pingat buat Kontinjen Malaysia.

Dalam acara tersebut, Dhabitah berhasil mengumpul 326.15 mata daripada lima terjunan namun ianya belum mencukupi untuk menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga bagi membolehkan mengutip pingat gangsa di temasya yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun, pencapaian di tangga keempat itu merupakan yang terbaik buatnya sejak menyertai temasya Sukan Olimpik di Rio, Brazil pada tahun 2016.

Featured Image: Instagram Nur Dhabitah Sabri

Komen