Kedudukan beberapa pemain badminton muda negara yang menyertai kejohanan Piala Sudirman mencatatkan peningkatan dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas pasukan Malaysia berjaya mara ke peringkat separuh akhir.
Menerusi kemaskini ranking oleh BWF pada hari ini, beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencatatkan peningkatan tertinggi dengan melompat sebanyak 49 anak tangga dan berhasil menduduki tempat ke-124 dunia pada masa ini.
Mereka diturunkan sebanyak sekali ketika menentang Mesir pada peringkat kumpulan dalam kejohanan Piala Sudirman tempoh hari. Pemain yang berusia 22 dan 21 tahun masing-masing ini mudah menumpaskan pihak lawan secara ‘straight set’ 21-7 dan 21-6.
Beralih kepada pemain perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan pula dilihat meraih peningkatan kedua tertinggi dalam kalangan pemain Malaysia iaitu sebanyak 11 anak tangga dan kini menghuni kedudukan ke-123 dunia.
Di kejohanan yang sama baru-baru ini, Eoon yang berusia 20 tahun diturunkan ketika menentang wakil Mesir, Doha Hany secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-5 dan 21-7.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang berusia 21 tahun pula merekodkan peningkatan sebanyak 10 anak tangga sekaligus membolehkannya menghuni tangga ke-82 dunia. Tze Yong diturunkan sekali ketika menentang Mesir dan mengalahkan lawannya, 21-8 dan 21-2.
Sementara itu, beregu wanita negara iaitu Pearly Tan-Thinaah Muralitharan serta Teoh Mei Xing-Yap Ling merekodkan kenaikan satu dan dua anak tangga masing-masing. Pasangan Pearly-Thinaah kini menghuni tangga ke-18 dunia manakala pasangan Mei Xing-Yap Ling pula berada di tempat ke-68 dunia.
Tidak dilupakan, pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang beraksi cemerlang mengejutkan regu nombor 4 dunia dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti turut meningkat kedudukan mereka sebanyak dua anak tangga menjadikan mereka menghuni tempat ke-25 dunia.
Sebagai tambahan, tiada sebarang perubahan ranking terhadap pemain-pemain seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki, No.8), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki, No.8) dan Kisona Selvaduray (perseorangan wanita, No.53).
Untuk makluman semua, pemain-pemain badminton seluruh dunia dapat memperbaiki ranking masing-masing sekiranya mereka mara lebih jauh dalam setiap kejohanan yang disertai. Namun, ianya turut bergantung kepada gred setiap kejohanan yang mereka sertai.
Dalam masa tiga hari lagi, nama-nama di atas serta beberapa pemain badminton negara yang lain bakal menyertai kejohanan berpasukan lelaki dan wanita iaitu Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia / Badminton Photo