Artikel

Piala Thomas 2020: Sasaran ke Suku Akhir Tidak Berubah Walaupun England Menarik Diri

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang untuk menyemak semula sasaran awal mara ke peringkat suku akhir buat pasukan lelaki dalam kejohanan Piala Thomas 2020.

Menurut laporan portal Bernama, perkara tersebut disahkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria walaupun pasukan England yang berada dalam Kumpulan D bersama-sama Jepun, Malaysia dan Kanada mengumumkan menarik diri pada saat-saat akhir.

Artikel Berkaitan: Pemain-Pemain ‘Power’ Cedera, Pasukan England Umum Tarik Diri

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria – Foto: BAM

“Kami rasa penarikan diri England bukan satu kelebihan besar untuk Malaysia, jadi kami akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Jepun. Kami perlu realistik tentang sasaran kami kerana pemain kami telah menempuh perlawanan yang banyak dalam kejohanan Piala Sudirman.

“Ia mungkin menyebabkan mereka sedikit keletihan dan saya tidak fikir adalah wajar untuk menyemak semula sasaran kami kerana kami tidak mahu memberi tekanan kepada mereka.

“Saya fikir pemain dan jurulatih kami tahu apakah aksi yang diharapkan daripada mereka, bukan hanya oleh pihak BAM, tetapi juga peminat, jadi mereka harus berjuang bersungguh-sungguh,” katanya dipetik daripada portal terbabit.

Pada masa yang sama, kebanyakan anggota skuad Malaysia kali ini terdiri daripada pemain muda yang akan membuat penampilan sulung dalam kejohanan berpasukan lelaki dwitahunan itu.

Norza mengharapkan pendedahan pemain muda di kejohanan ini dapat menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

Untuk makluman semua, saingan peringkat kumpulan Thomas Cup 2020 akan bermula pada Sabtu ini, 9 Oktober.

Featured Image: Badminton World Federation

komen