Artikel

Kenali ‘Mask’ Yang Dipakai Oleh Lee Zii Jia – LG PuriCare Wearable Air Purifier

Semasa kejohanan badminton berpasukan, Piala Sudirman 2021 berlangsung di Vantaa, Finland sepanjang minggu lalu, pelitup muka atau ‘mask’ yang digunakan oleh pemain perseorangan lelaki merangkap kapten, Lee Zii Jia mencuri tumpuan ramai.

Untuk pengetahuan semua, ‘mask’ yang digunakan oleh pemain berusia 23 tahun itu semasa masuk ke gelanggang dan ketika bercakap bersama wartawan sesudah perlawanan merupakan sebuah pelitup muka pintar yang diberi nama LG PuriCare Wearable Air Purifier.

Pelitup muka pintar ini diperkenalkan oleh syarikat pengeluar kelengkapan rumah berpangkalan di Republik Korea, LG Electronics (LG) semasa pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun lepas. Ia dilengkapi dengan kipas pengalir udara automatik serta dua penapis HEPA H13 – penapis yang sama digunakan untuk penapis udara di rumah – bagi memastikan pemakainya menghirup udara yang bersih dan sihat.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem VoiceON – yang mempunyai pembesar suara dan mikrofon terbina – membolehkan pemakainya melontarkan suara percakapan dengan jelas tanpa menurunkan pelitup muka semasa bercakap.

Anda boleh melihat video yang dikongsikan oleh Astro Arena di mana Zii Jia dapat bercakap untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh wartawan dengan jelas dan terang semasa memakainya.

Tambahan lagi, pelitup muka ini turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 10,000 mAH yang membenarkannya untuk beroperasi selama lapan jam. Terakhir sekali, ia juga disertakan dengan sambungan Bluetooth.

LG PuriCare Wearable Air Purifier ini telah berada di pasaran tempatan dan sesiapa yang berminat untuk menggayakan pelitup mukan pintar ini persis Zii Jia boleh mendapatkannya di kedai atas talian LG di Lazada. Ia dijual pada harga RM849 sahaja.

Sementara itu, pihak LG turut mengumumkan melantik pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 dan juara All England Open Badminton Championship 2021 ini selaku Duta Jenama LG PuriCare menerusi satu acara atas talian di platform laman sosial LG Global, pada hari ini.

Featured Image: Astro Arena

komen