Kelayakan Piala Asia B-23: Perancangan Coach Brad Untuk Bawa Pemain Berlatih di Luar Negara Tergendala
October 7, 2021 Hafizuddin Omar

Perancangan awal ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) untuk membawa para pemainnya berlatih di luar negara sebelum beraksi di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 tegendala.

Menurut laporan akhbar berbahasa inggeris, New Straits Times, perancangan asalnya adalah membawa skuad ini menjalani perlawanan persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun ianya tidak dapat direalisasikan kerana kekangan kuarantin pandemik Covid-19.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menjalankan ‘Pelan B’ dengan berlatih di Wisma FAM di Kelana Jaya dan mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Malaysia sebelum terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada hujung bulan ini.

Brad Maloney – Foto: FAM

“Kami telah mengatur tiga perlawanan persahabatan semasa rehat Liga Malaysia pada bulan ini. Kami akan menentang Kedah, Penang dan sebuah lagi pasukan Liga Malaysia untuk menguji barisan pemain.” kata jurulatih Australia itu seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Artikel Berkaitan: FAM Batal Perancangan Hantar Pemain Berusia 20 Tahun & Ke Bawah Sahaja?

Untuk makluman semua, skuad B-20 kebangsaan kendalian Coach Brad telah memulakan kem latihan pusat pada 4 Oktober lalu. Seramai 25 pemain yang dipanggil telah melaporkan diri di Wisma FAM.

Sementara itu, empat lagi pemain iaitu Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal, Hakimi Abdullah dan Luqman Hakim yang sedang bertugas bersama skuad senior kebangsaan akan menyertai skuad B-20 setelah pulang ke tanah air kelak.

Mereka dijangka terbang ke Ulaanbaatar pada 20 Oktober kelak. Skuad B-23 akan berhadapan dengan Laos, Mongolia dan Thailand pada 25hb, 28hb dan 31hb Oktober masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen