Piala Uber 2020: Pemain Muda Malaysia Kutip Pengalaman Berharga Menentang China
October 10, 2021 Hafizuddin Omar

Tiada sebarang mata dikutip oleh pasukan Malaysia ketika turun menentang China pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan D pada kejohanan Piala Uber 2020.

Malaysia yang dibarisi oleh rata-rata pemain muda terpaksa akur tumpas dalam kelima-lima perlawanan yang berlangsung di Ceres Arena, Denmark. Walaupun kalah, majoriti pemain muda mendapat pengalaman dan peluang berharga menentang barisan ‘top player’ China tersebut. 

Eoon Qi Xuan turun pada perlawanan pertama, tumpas kepada  Chen Yu Fei yang merupakan pemain nombor 2 dunia merangkap pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan keputusan 13-21 dan 11-21. 

Meng Yean & M. Thinaah

Perlawanan kedua melibatkan ‘scratch pair’ Lee Meng Yean-M. Thinaah menentang Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting yang menduduki ranking ke-21 dunia. Mereka turut kalah ‘straight set’ 12-21 dan 17-21.

Pada perlawanan ketiga, Malaysia menurunkan pemain remaja, Siti Nurshuhaini Azman untuk menentang He Bing Jiao yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik baru-baru ini. Nurshuhaini yang berada di kedudukan ke-455 dunia tumpas dengan keputusan 8-21 dan 3-21 kepada pemain No.9 dunia itu.

Siti Nurshuhaini Azman

Perlawanan keempat mempertemukan ‘scratch pair’ daripada kedua-dua pasukan iaitu Teoh Mei Xing-Go Pei Kee menentang Huang Dong Ping-Jia Yi Fan. Walaupun masing-masing menurunkan ‘scratch pair’, beregu China tampak lebih menyerlah dan berhasil menumpaskan Mei Xing-Pei Kee 9-21 dan 12-21.

Perlawanan terakhir, K. Letshanaa yang berusia 18 tahun turun menentang Wang Zhi Yi yang berada di ranking ke-18 dunia tumpas dengan keputusan 15-21 dan 11-21.

Pastinya kekalahan ini akan diambil positif oleh kesemua pemain dan barisan kejurulatihan untuk meningkatkan lagi kemahiran, kebolehan, kecergasan dan sebagainya oleh masing-masing agar dapat tampil lebih menyerlah pada masa akan datang.

Sehubungan itu, dengan dua kekalahan di peringkat Kumpulan D, Malaysia sah tidak dapat melayakkan diri ke saingan kalah mati. Bagaimanapun, Malaysia boleh merebut tempat ketiga peringkat kumpulan apabila turun menentang Kanada pada perlawanan terakhir, Selasa nanti.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen