47 tahun yang lalu merupakan kali terakhir Pulau Pinang muncul juara Piala Malaysia dan itu menjadi impian pemain sayap, Mohammad Amer Azahar bagi menamatkan penantian sekian lama skuad Harimau Kumbang.
Ditambah Amer juga berasal dari Pulau Pinang, semangatnya cukup membara bagi membantu kelab negeri kelahirannya, Penang melakar sejarah dalam sejarah kejohanan Piala Malaysia selepas sekian lama sepi tanpa sebarang kejayaan membanggakan.
Malah, pemain yang berasal dari Kampung Seronok, Bayan Lepas ini mengakui dia teruja mahu mengembalikan zaman kegemilangan Pulau Pinang seperti yang pernah diketahui pada era dahulu yang menyaksikan mereka pernah muncul juara sebanyak empat kali selain 13 kali beraksi di pentas akhir.
“Sebagai anak jati negeri, siapa yang tidak mahu ke final kerana saya tahu sudah lama Penang tidak mengecap sebarang kejayaan dalam kejohanan Piala Malaysia.
“Itu menjadi impian utama saya dengan Penang selepas melihat banyak pasukan lain pernah merasai nikmat memenangi Piala Malaysia.
“Dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil dan jika ada rezeki, saya mahu melihat peminat-peminat Penang berarak beramai-ramai ke stadium pada hari perlawanan akhir.
“Motivasi ini menjadi pemangkin utama buat kami untuk bangkit pada baki empat perlawanan akan datang selepas permulaan perlahan pada dua aksi awal apabila kami sekadar meraih satu mata.” katanya.
Tahun 1974 menyaksikan Pulau Pinang muncul juara apabila menewaskan Perak, 2-1 sementara pada tahun 1977, merupakan tahun terakhir mereka bermain di perlawanan akhir dengan tewas kepada Singapura, 2-3 di Stadium Merdeka.
Sejak detik itu, Pulau Pinang yang kini dijenamakan sebagai Penang FC kempunan ke final biarpun ada memenangi trofi lain seperti kejuaraan Divisyen Satu (1982,1998 dan 2001) dan Piala FA (2002).
Dalam masa sama, Amer mengharapkan tempoh rehat sebulan sebelum saingan Kumpulan A Piala Malaysia akan membuka ruang kepada Penang FC perbaiki kelemahan dalam pasukan.
Dia juga mengharapkan beberapa pemain utama seperti Khairu Azrin Khazali dan Rafael Vitor dapat kembali bersama pasukan kerana kehadiran mereka berdua sentiasa berikan kestabilan kepada bahagian pertahanan.
“Momentum pasukan agak terencat pada dua perlawanan sebelum ini kerana selain faktor keletihan, kami ketiadaan beberapa pemain utama.
“Harap sebaik aksi ketiga nanti, pemain seperti Khairu Azrin mampu beraksi kerana ketiadaanya amat dirasai di bahagian tengah.
“Dia seorang yang bijak dalam mematikan rentak lawan apabila mereka menyerang serta tahu mengubah tempo permainan di saat-saat yang diperlukan,” katanya.
Penang akan berdepan Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada 30 Oktober ini dengan hanya kemenangan sahaja mampu menghidupkan peluang buat skuad kendalian Tomas Trucha bagi terus bersaing dengan Sarawak United dan Kuala Lumpur City.
Featured Image: Penang Football Club