FAS Women’s Super League Sasar Wujudkan Ekosistem Bola Sepak Berteraskan Wanita
October 15, 2021 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan sebuah saingan liga bola sepak khusus untuk wanita di peringkat negeri terbabit akan dianjurkan pada tahun ini.

Saingan tersebut dinamakan sebagai FAS Women’s Super League (FASWSL) 2021 yang bukan sahaja bermatlamat untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita bermain bola sepak.

Menariknya, badan induk bola sepak negeri terbabit turut meletakkan sasaran penganjuran FASWSL untuk mewujudkan sebuah ekosistem bola sepak yang berteraskan wanita.

Foto: Persatuan Bola Sepak Selangor

“Antara sasaran jangka masa panjang kami bagi pertandingan ini adalah ia bukan sahaja memberi peluang kepada pemain wanita,

“Tetapi ia juga bakal mewujudkan seluruh ekosistem bola sepak yang berteraskan wanita dari segi pemain, jurulatih, ahli fisioterapi, pegawai pasukan, bahkan sukarelawan untuk mencapai kecemerlangan.” kata Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Selain itu, FAS turut mengharapkan penganjuran liga ini dapat menjadi pemangkin ke arah melahirkan pemain-pemain bola sepak wanita profesional di Malaysia.

Untuk makluman semua, saingan FASWSL yang disertai oleh 12 pasukan ini akan bermula pada 29 November kelak dan akan dilangsungkan di Radia Arena, Bukit Jelutong.

Foto: Persatuan Bola Sepak Selangor

Sementara itu, perlawanan akhir pula bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Subang Jaya pada 22 Januari 2022.

FASWSL 2021 akan dipertandingkan dalam format pertandingan seperti berikut:

1. Kesemua pasukan yang mengambil bahagian bakal dibahagikan kepada dua kumpulan.

2. 30 perlawanan bakal berlangsung dalam tempoh lima minggu untuk saingan peringkat kumpulan.

3. Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.

4. Format kalah mati akan digunakan sehingga ke perlawanan akhir.

5. Perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 22 Januari 2022.

Komen