BAM Buat Keputusan Pisahkan Regu Ke-68 Dunia Teoh Mei Xing-Yap Ling
October 15, 2021 Hafizuddin Omar

Piala Uber 2020 menjadi pentas terakhir disertai oleh pasangan beregu wanita negara yang menduduki tangga ke-68 dunia, Teoh Mei Xing dan Yap Ling.

Hal ini kerana ketua jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming membuat keputusan untuk memisahkan kedua-dua pemain ini dan membentuk gandingan baharu bersama pemain lain.

“Piala Uber ialah kejohanan terakhir kami (bermain bersama), selepas itu (Terbuka) Czech dan Belgian (International) saya akan bergandingan bersama Anna Cheong, dia (Yap Ling) akan bergandingan bersama Go Pei Kee.” kongsi Mei Xing kepada Astro Arena.

Mei Xing & Yap Ling ketika beraksi di kejohanan Piala Uber 2020

Bagaimanapun, gandingan baharu yang dibentuk oleh barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini bukanlah muktamad. Prestasi pasangan beregu Mei Xing-Anna Cheong dan Yap Ling-Pei Kee ini akan dinilai dalam baki kejohanan yang mereka sertai pada tahun ini.

“Tetapi beregu ini tak confirm lagi, coach cakap mahu cuba dahulu, tengok result macam mana dan (akan) bincang lagi.” tambah Yap Ling.

Seperti dinyatakan di atas, pasangan beregu baharu negara ini akan diuji dalam kejohanan Terbuka Czech (21-24 Oktober) dan Belgian International (27-30 Oktober) yang merupakan kejohanan bertaraf Gred 3 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, Mei Xing dan Yap Ling mula bergandingan sekitar Jun 2019 dan ranking ke-68 dunia itu merupakan yang tertinggi diraih oleh mereka.

Featured Image: BWF

Komen