Piala Thomas: Indonesia Akhiri Kemarau 19 Tahun Kejuaraan Selepas Bantai China 3-0

October 17, 2021
Badminton

Hafiz Omar

Skuad badminton lelaki Indonesia berhasil menamatkan kemarau selama 19 tahun kejuaraan Piala Thomas setelah menumpaskan China pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Lebih menakjubkan, kejuaraan ke-14 dalam sejarah penyertaan skuad lelaki jiran tetangga ini dikecapi dengan menumpaskan China 3-0 dalam tiga perlawanan pertama.

Ketiga-tiga kemenangan tersebut disumbangkan oleh pemain Anthony Sinisuka Ginting, pasangan Fajar Alfian-Rian Ardianto dan Jonatan Christie yang berjaya menumpaskan lawan masing-masing.

Anthony Ginting berhasil menumpaskan Lu Guang Zu dengan keputusan 18-21, 21-14 dan 21-16. Manakala Fajar Alfian-Rian Ardianto mengalahkan He Tin Jing-Zhou Hoa Dong secara ‘straight set’ 21-12 dan 21-19. 

Akhir sekali, Jonatan pula menutup malam gemilang buat skuad Indonesia dengan menewaskan Li Shi Feng dengan kiraan mata 21-14, 18-21 dan 21-14.

Untuk rekod, kali terakhir Indonesia menjulang trofi Piala Thomas adalah pada tahun 2002 dengan menumpaskan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Guangzhou, China.

Sebagai tambahan, Indonesia berjaya mara ke pentas final edisi kali ini selepas menundukkan Malaysia 3-0 di peringkat suku akhir. Selepas itu, mereka berhasil menumpaskan tuan rumah, Denmark dengan keputusan 3-1.

Featured Image: BWF

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd