Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo muncul pelumba pertama dari Perancis yang menjuarai Kejuaraan Dunia Motosikal MotoGP.
Walaupun saingan MotoGP 2021 masih berbaki dua perlumbaan lagi, pelumba berusia 22 tahun ini mengesahkan kejuaraan secara keseluruhan apabila pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia mengalami kemalangan dalam perlumbaan GP Emilia Romagna, semalam.
Dalam perlumbaan terbabit, pelumba Ducati ini sedang mendahalui perlumbaan dan hanya tinggal lima pusingan sahaja lagi sebelum melintasi garisan penamat.

Ini menyebabkan mata yang dikumpul oleh Fabio selepas menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keempat sudah tidak boleh diatasi oleh mana-mana pelumba lain lagi.
Berdasarkan statistik pada musim ini, Fabio merangkul kejuaraan dunia dengan memenangi lima perlumbaan, menaiki podium sebanyak 10 kali serta bermula sebanyak lima kali pada petak pertama.
Untuk makluman semua, ini juga kejuaraan sulung yang diraih oleh Fabio sejak menyertai saingan kelas premier, MotoGP pada tahun 2019 bersama Petronas Yamaha SRT.