Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi dua pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021, baru-baru ini.
Shah yang mengambil bahagian dalam dua acara iaitu keirin dan pecut hanya beraksi sehingga pusingan 1 dan pusingan 16 masing-masing. Manakala, Fadhil yang menyertai acara ujian masa 1 kilometer (km) pula hanya menempatkan diri di tempat ke-14 secara keseluruhan.
Justeru, kedua-dua pelumba yang berusia 25 dan 24 tahun masing-masing ini gagal sama sekali untuk mara ke pusingan akhir dalam kesemua acara yang disertai.
Menurut laporan portal akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times, jurulatih kelahiran Australia itu kecewa kerana prestasi kedua-dua pelumba tersebut jauh daripada prestasi sebenar yang mampu ditampilkan oleh mereka.
Untuk makluman semua, John tidak turut serta ke kejohanan yang berlangsung di Roubaix, Perancis ini kerana bakal berhadapan dengan halangan masuk ke negara asalnya apabila pulang dari benua eropah.
Oleh demikian, beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai persembahan dan prestasi kedua-dua pelumba ini. John menantikan taklimat dan penjelasan penuh daripada penolongnya selepas ini.
Sementara itu, John turut memaklumkan memberikan cuti rehat kepada Shah dan Fadhil apabila selesai menjalani kuarantin wajib di Malaysia.
Selepas itu, kedua-duanya bersama-sama pelumba yang lain akan kembali untuk berlatih bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi kempen temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022.