Soh Wai Ching Tak Puas Hati Gagal Capai Sasaran Bawah 10 Minit
October 28, 2021 Hafizuddin Omar

Walaupun muncul juara dalam acara Empire State Building Run-Up di New York, semalam, atlet pelari menara Malaysia, Soh Wai Ching tetap tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Menerusi perkongsian di laman sosialnya pada hari ini, Wai Ching teruja muncul pelari asia pertama yang memenangi acara yang dianjurkan oleh NYC Runs selain berpeluang bertemu empat mata bersama pelakon, Sebastian Stan.

Namun begitu, Wai Ching berkata, “mengenai larian semalam, saya tidak beraksi dengan baik dan saya tidak berpuas hati dengan prestasi itu memandangkan saya menyasarkan (catatan masa) di bawah 10 minit.”

Wai Ching yang berusia 27 tahun muncul juara dengan catatan masa 10 minit dan 40 saat untuk melintasi garisan penamat di tingkat 86 bangunan tersebut.

Pada masa yang sama, Wai Ching menanamkan keyakinan dapat memperbaiki catatan masanya dalam acara larian yang sama pada tahun hadapan dengan tempoh masa persiapan yang lebih lama.

Untuk pengetahuan semua, rekod larian terpantas dalam acara Empire State Building Run-Up bagi kategori lelaki dipegang oleh pelari Australia, Paul Crake dengan catatan masa 9 minit dan 33 saat.

Rekod ini dicipta oleh Paul ketika menyertai acara ini pada tahun 2003.

Featured Image: Facebook Soh Wai Ching 

Komen